Rohana Rahmat


Setelah 14 minggu kuliah MTM 6053 berlangsung, maka pada 01 hb Oktober 2010 yang lalu, tamatlah kelas ini secara rasmi.


Sempena kelas terakhir dan juga sempena bulan Syawal, kami telah mengadakan jamuan makan malam. Semua pelajar membawa juadah masing-masing dan pensyarah kami, Tn hj Nazri juga menyediakan aiskrim sebagai pencuci mulut.


Terima kasih kepada semua yang membawa makanan dan minuman yang sedap.

Kelas terakhir pada malam tersebut juga merupakan kelas rumusan terhadap semua yang telah kami lakukan sepanjang tempoh pembelajaran satu semester.
Tanpa disedari, begitu banyak perubahan yang berlaku pada diri saya sendiri terhadap tahap penggunaan ICT. Perjalanan kelas ini yang sangat berlainan daripada kelas biasa menimbulkan semangat baru dalam diri saya. Tiada peperiksaan akhir, sebaliknya kami perlu membangunkan satu blog berkisarkan ICT di dalam pendidikan dan menjalankan kajian kes. Pertemuan juga banyak dilakukan secara online sama ada menggunakan google presentation atau aplikasi dimdim. Sesungguhnya kelas ini walaupun hanya subjek elektif bagi saya yang mengambil teras pengurusan dan perkembangan kurikulum, namun secara peribadi ia adalah satu keperluan di dalam meningkatkan kemahiran guru di dalam ICT dan seterusnya dapat menggunakan ICT sebagai kaedah alternatif di dalam penyampaian pengajaran.
Sepanjang tempoh pembelajaran kami, banyak perkara baru yang telah dipelajari. Antaranya ialah penggunaan :
  • Blog
  • Google Docs
  • DimDim
  • Twitter
  • Skype

Walaupun saban hari komputer menjadi alat penting di dalam melakukan kerja, pengetahuan saya mengenai aplikasi di atas adalah terlalu sedikit. Selepas mengetahui cara penggunaannya, banyak yang boleh diaplikasikan di dalam P&P dan kehidupan seharian. Contohnya, sekarang ini saya gemar menghubungi keluarga di kampung mengunakan Skype di mana selain boleh berhubung secara percuma, komunikasi menjadi lebih 'live' dan meriah.

Begitu juga dengan isu-isu di dalam penggunaan ICT (seperti yang telah saya bincangkan di dalam entri sebelum ini), perlu diberi perhatian oleh diri sendiri mahupun oleh pihak pentadbir sesuatu organisasi. Antara isu tersebut ialah:

  • Skills
  • Networks
  • Equipment
  • Security
  • Intelectual Properties
  • Social
  • Information Overflow

Secara kesimpulan, saya amat gembira dengan pilihan kursus yang telah saya pilih ini dan ia benar-benar memberi manfaat kepada saya untuk digunakan di dalam P&P dan juga kehidupan seharian. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tn Hj Nazri yang telah banyak membuka mata saya mengenai penggunaan ICT lebih daripada biasa. Semoga saya dapat memanfaatkan ilmu ini untuk mendidik anak bangsa. Terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan. Semoga berjaya di dalam bidang masing-masing....

SAYONARA....

Insyaallah saya akan meneruskan penulisan blog ini... ikuti saya :)

Rohana Rahmat
Salam...

Pada entri kali ini, saya ingin membahaskan tentang isu di dalam penggunaan internet yang tidak kurang pentingnya iaitu keselamatan internet (internet security).

Berapa ramai di antara kita yang sedar tentang isu keselamatan ini? Antara isu keselamatan internet yang biasa di dengar ialah:
  • penghantaran mesej-mesej yang mengganggu pengguna lain, menimbulkan isu sensasi seperti perkauman atau seksual dengan sengaja.
  • penyalinan bahan-bahan yang dipaten atau Hak Milik Terpelihara, termasuk teks, kod atau data tanpa kebenaran pemilik asal.
  • mengganggu perjalanan sesuatu sistem.
  • penyebaran mesej layang atau fitnah.
  • pencurian melalui 'internet banking'

Risiko keselamatan internet boleh dikurangkan seandainya kita peka dan berhati-hati di dalam setiap transaksi khususnya apabila menggunakan perbankan internet atau kad kredit; tidak membalas mesej yang tidak dikenali serta tidak meninggalkan alamat e-mail pada laman yang tidak rasmi atau boleh dipercayai selain daripada menggunakan perisian keselamatan di komputer.

Rohana Rahmat


Salam..



Selepas membicarakan tentang isu 'Harta Intelek", pada kali ini saya akan membincangkan tentang satu lagi isu mengenai penggunaan ICT untuk pendidikan iaitu 'Information Overflow' atau 'Information Overload'

Menurut Alvin Toffler,

Information overload merujuk kepada kesukaran sesorang untuk memahami isu dan membuat keputusan yang mungkin disebabkan oleh wujudnya informasi yang terlalu banyak.

Di dalam dunia hari ini, informasi mengenai sesuatu perkara boleh di dapati dengan mudah dengan melayari internet. Pengguna internet sekarang adalah pembaca dan penulis yang aktif dengan menghasilkan blog atau laman web yang memberi informasi. Sebahagian daripada penulisan tersebut merujuk kepada sumber asal namun kebanyakannya adalah pandangan peribadi penulis atau diolah mengikut kefahaman penulis.

Maka, informasi mengenai sesuatu akan banyak diperolehi melalui sumber-sumber yang berlainan dan kadangkalanya sedikit bercanggah atau berlainan susunan. Beberapa perkara yang menyebabkan wujudnya fenomena ini ialah:

  1. Penghasilan maklumat baru yang meningkat dengan pantas.
  2. Kemudahan membuat salinan dan memindahkan data melalui internet.
  3. Peningkatan saluran untuk mendapatkan maklumat ( spt telefon, e-mail, rss, laman sosial dan sebagainya)
  4. Terdapat banyak 'historical information' yang boleh dicari.
  5. Percanggahan dan ketidaktepatan maklumat yang diperolehi.
  6. Kurangnya cara untuk membuat perbandingan atau memproses maklumat yang berkaitan.

Maka, sebagai pengguna yang ingin mendapatkan maklumat sama ada melalui internet atau bahan bacaan lainnya, kita perlulah bijak untuk mengenalpasti kesahihan maklumat dengan melihat kepada sumber yang boleh dipercayai.


Rujukan - Wikipedia, http://www.gdrc.org/icts/i-overload/overload.html

Rohana Rahmat
ICT sudah digunakan secara meluas di dalam semua bidang termasuk pendidikan. Namun, di dalam penggunaannya terdapat beberapa isu yang menjadi kekangan atau perkara penting yang perlu diberi perhatian. Antara isu tersebut ialah:
  1. Kemahiran (Skills)
  2. Jaringan (Network)
  3. Kemudahan peralatan (Equipment)
  4. Keselamatan (Security)
  5. Harta Intelek (Intelectual Properties) - IP
  6. Sosial (Social)
  7. Maklumat Berlebihan (Info Overflow)

Kebanyakan kita hanya tahu menggunakan kemudahan ICT seperti melayari internet, membuat kerja menggunakan microsoft office dan banyak lagi tanpa memikirkan isu yang akan saya bincangkan kali ini iaitu 'Intelectual Properties' (IP).

menurut WIPO (World Intelectual Properties Organization),

IP atau harta intelek merujuk kepada apa yang dihasilkan oleh otak manusia; termasuklah ciptaan, penulisan dan karya artistik, simbol, nama, imej dan rekabentuk yang digunakan untuk perdagangan.

Malaysia juga salah satu negara berdaftar di bawah WIPO dan mempunyai akta sendiri untuk melindungi harta intelek tersebut. Rujuk http://www.myipo.gov.my untuk maklumat lanjut.

Tanpa kita sedari, kadangkala atau boleh dikatakan kerap juga kita mengambil gambar, imej, simbol di dalam internet; memuat turun lagu, video, movie dan sebagainya tanpa memikirkan hak penciptanya. Selain itu, di dalam pembelajaran juga kita sering membuat salinan buku yang dipinjam daripada perpustakaan sebagai rujukan peribadi. Hal ini telah menjadi biasa disebabkan ceteknya pengetahuan kita mengenai harta intelek ini.

Apabila saya imbas kembali pengalaman saya belajar di negara matahari terbit selama 5 tahun, tidak terlintas pun di fikiran saya untuk membuat salinan kepada buku yang dipinjam daripada perpustakaan kerana tidak wujud budaya sedemikian. Jika mampu, buku tersebut akan saya beli dan jika tidak akan saya lanjutkan tempoh peminjaman. Di negara maju, kesedaran mengenai harta intelek adalah tinggi. Setakat pemerhatian saya, tidak pernah wujud CD, Video cetak rompak dan lain-lain. Penyewaan bahan-bahan tersebut boleh dibuat dengan harga yang murah (bergantung kepada tarikh keluaran) dan ianya sah di sisi undang-undang. Kedai-kedai fotostat tidak banyak dan barang-barang, penemuan baru semuanya di 'paten'kan.

Mungkinkah warga Malaysia boleh menjadi rakyat yang prihatin dan sedar tentang harta intelek suatu hari nanti?