Rohana Rahmat


Setelah 14 minggu kuliah MTM 6053 berlangsung, maka pada 01 hb Oktober 2010 yang lalu, tamatlah kelas ini secara rasmi.


Sempena kelas terakhir dan juga sempena bulan Syawal, kami telah mengadakan jamuan makan malam. Semua pelajar membawa juadah masing-masing dan pensyarah kami, Tn hj Nazri juga menyediakan aiskrim sebagai pencuci mulut.


Terima kasih kepada semua yang membawa makanan dan minuman yang sedap.

Kelas terakhir pada malam tersebut juga merupakan kelas rumusan terhadap semua yang telah kami lakukan sepanjang tempoh pembelajaran satu semester.
Tanpa disedari, begitu banyak perubahan yang berlaku pada diri saya sendiri terhadap tahap penggunaan ICT. Perjalanan kelas ini yang sangat berlainan daripada kelas biasa menimbulkan semangat baru dalam diri saya. Tiada peperiksaan akhir, sebaliknya kami perlu membangunkan satu blog berkisarkan ICT di dalam pendidikan dan menjalankan kajian kes. Pertemuan juga banyak dilakukan secara online sama ada menggunakan google presentation atau aplikasi dimdim. Sesungguhnya kelas ini walaupun hanya subjek elektif bagi saya yang mengambil teras pengurusan dan perkembangan kurikulum, namun secara peribadi ia adalah satu keperluan di dalam meningkatkan kemahiran guru di dalam ICT dan seterusnya dapat menggunakan ICT sebagai kaedah alternatif di dalam penyampaian pengajaran.
Sepanjang tempoh pembelajaran kami, banyak perkara baru yang telah dipelajari. Antaranya ialah penggunaan :
  • Blog
  • Google Docs
  • DimDim
  • Twitter
  • Skype

Walaupun saban hari komputer menjadi alat penting di dalam melakukan kerja, pengetahuan saya mengenai aplikasi di atas adalah terlalu sedikit. Selepas mengetahui cara penggunaannya, banyak yang boleh diaplikasikan di dalam P&P dan kehidupan seharian. Contohnya, sekarang ini saya gemar menghubungi keluarga di kampung mengunakan Skype di mana selain boleh berhubung secara percuma, komunikasi menjadi lebih 'live' dan meriah.

Begitu juga dengan isu-isu di dalam penggunaan ICT (seperti yang telah saya bincangkan di dalam entri sebelum ini), perlu diberi perhatian oleh diri sendiri mahupun oleh pihak pentadbir sesuatu organisasi. Antara isu tersebut ialah:

  • Skills
  • Networks
  • Equipment
  • Security
  • Intelectual Properties
  • Social
  • Information Overflow

Secara kesimpulan, saya amat gembira dengan pilihan kursus yang telah saya pilih ini dan ia benar-benar memberi manfaat kepada saya untuk digunakan di dalam P&P dan juga kehidupan seharian. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tn Hj Nazri yang telah banyak membuka mata saya mengenai penggunaan ICT lebih daripada biasa. Semoga saya dapat memanfaatkan ilmu ini untuk mendidik anak bangsa. Terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan. Semoga berjaya di dalam bidang masing-masing....

SAYONARA....

Insyaallah saya akan meneruskan penulisan blog ini... ikuti saya :)

Rohana Rahmat
Salam...

Pada entri kali ini, saya ingin membahaskan tentang isu di dalam penggunaan internet yang tidak kurang pentingnya iaitu keselamatan internet (internet security).

Berapa ramai di antara kita yang sedar tentang isu keselamatan ini? Antara isu keselamatan internet yang biasa di dengar ialah:
  • penghantaran mesej-mesej yang mengganggu pengguna lain, menimbulkan isu sensasi seperti perkauman atau seksual dengan sengaja.
  • penyalinan bahan-bahan yang dipaten atau Hak Milik Terpelihara, termasuk teks, kod atau data tanpa kebenaran pemilik asal.
  • mengganggu perjalanan sesuatu sistem.
  • penyebaran mesej layang atau fitnah.
  • pencurian melalui 'internet banking'

Risiko keselamatan internet boleh dikurangkan seandainya kita peka dan berhati-hati di dalam setiap transaksi khususnya apabila menggunakan perbankan internet atau kad kredit; tidak membalas mesej yang tidak dikenali serta tidak meninggalkan alamat e-mail pada laman yang tidak rasmi atau boleh dipercayai selain daripada menggunakan perisian keselamatan di komputer.

Rohana Rahmat


Salam..



Selepas membicarakan tentang isu 'Harta Intelek", pada kali ini saya akan membincangkan tentang satu lagi isu mengenai penggunaan ICT untuk pendidikan iaitu 'Information Overflow' atau 'Information Overload'

Menurut Alvin Toffler,

Information overload merujuk kepada kesukaran sesorang untuk memahami isu dan membuat keputusan yang mungkin disebabkan oleh wujudnya informasi yang terlalu banyak.

Di dalam dunia hari ini, informasi mengenai sesuatu perkara boleh di dapati dengan mudah dengan melayari internet. Pengguna internet sekarang adalah pembaca dan penulis yang aktif dengan menghasilkan blog atau laman web yang memberi informasi. Sebahagian daripada penulisan tersebut merujuk kepada sumber asal namun kebanyakannya adalah pandangan peribadi penulis atau diolah mengikut kefahaman penulis.

Maka, informasi mengenai sesuatu akan banyak diperolehi melalui sumber-sumber yang berlainan dan kadangkalanya sedikit bercanggah atau berlainan susunan. Beberapa perkara yang menyebabkan wujudnya fenomena ini ialah:

  1. Penghasilan maklumat baru yang meningkat dengan pantas.
  2. Kemudahan membuat salinan dan memindahkan data melalui internet.
  3. Peningkatan saluran untuk mendapatkan maklumat ( spt telefon, e-mail, rss, laman sosial dan sebagainya)
  4. Terdapat banyak 'historical information' yang boleh dicari.
  5. Percanggahan dan ketidaktepatan maklumat yang diperolehi.
  6. Kurangnya cara untuk membuat perbandingan atau memproses maklumat yang berkaitan.

Maka, sebagai pengguna yang ingin mendapatkan maklumat sama ada melalui internet atau bahan bacaan lainnya, kita perlulah bijak untuk mengenalpasti kesahihan maklumat dengan melihat kepada sumber yang boleh dipercayai.


Rujukan - Wikipedia, http://www.gdrc.org/icts/i-overload/overload.html

Rohana Rahmat
ICT sudah digunakan secara meluas di dalam semua bidang termasuk pendidikan. Namun, di dalam penggunaannya terdapat beberapa isu yang menjadi kekangan atau perkara penting yang perlu diberi perhatian. Antara isu tersebut ialah:
  1. Kemahiran (Skills)
  2. Jaringan (Network)
  3. Kemudahan peralatan (Equipment)
  4. Keselamatan (Security)
  5. Harta Intelek (Intelectual Properties) - IP
  6. Sosial (Social)
  7. Maklumat Berlebihan (Info Overflow)

Kebanyakan kita hanya tahu menggunakan kemudahan ICT seperti melayari internet, membuat kerja menggunakan microsoft office dan banyak lagi tanpa memikirkan isu yang akan saya bincangkan kali ini iaitu 'Intelectual Properties' (IP).

menurut WIPO (World Intelectual Properties Organization),

IP atau harta intelek merujuk kepada apa yang dihasilkan oleh otak manusia; termasuklah ciptaan, penulisan dan karya artistik, simbol, nama, imej dan rekabentuk yang digunakan untuk perdagangan.

Malaysia juga salah satu negara berdaftar di bawah WIPO dan mempunyai akta sendiri untuk melindungi harta intelek tersebut. Rujuk http://www.myipo.gov.my untuk maklumat lanjut.

Tanpa kita sedari, kadangkala atau boleh dikatakan kerap juga kita mengambil gambar, imej, simbol di dalam internet; memuat turun lagu, video, movie dan sebagainya tanpa memikirkan hak penciptanya. Selain itu, di dalam pembelajaran juga kita sering membuat salinan buku yang dipinjam daripada perpustakaan sebagai rujukan peribadi. Hal ini telah menjadi biasa disebabkan ceteknya pengetahuan kita mengenai harta intelek ini.

Apabila saya imbas kembali pengalaman saya belajar di negara matahari terbit selama 5 tahun, tidak terlintas pun di fikiran saya untuk membuat salinan kepada buku yang dipinjam daripada perpustakaan kerana tidak wujud budaya sedemikian. Jika mampu, buku tersebut akan saya beli dan jika tidak akan saya lanjutkan tempoh peminjaman. Di negara maju, kesedaran mengenai harta intelek adalah tinggi. Setakat pemerhatian saya, tidak pernah wujud CD, Video cetak rompak dan lain-lain. Penyewaan bahan-bahan tersebut boleh dibuat dengan harga yang murah (bergantung kepada tarikh keluaran) dan ianya sah di sisi undang-undang. Kedai-kedai fotostat tidak banyak dan barang-barang, penemuan baru semuanya di 'paten'kan.

Mungkinkah warga Malaysia boleh menjadi rakyat yang prihatin dan sedar tentang harta intelek suatu hari nanti?
Rohana Rahmat
Bagi melengkapkan syarat mata pelajaran MTM 6053, saya telah menjalankan satu kajian kes di tempat saya bertugas iaitu Kolej Negeri Chedang Campus, Seremban, Negeri Sembilan. Tajuk kajian kes tersebut ialah "Penerapan Penggunaan ICT di dalam Kurikulum Diploma Teknologi Senibina - Satu Kajian Kes di Kolej Negeri".

Objektif kajian ini adalah untuk mengumpulkan maklumat mengenai perkaitan di antara ICT dengan kurikulum Diploma Teknologi Senibina di Kolej Negeri dan kekerapannya di dalam P&P.

Kepentingan kajian ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kepada pensyarah senibina dan juga kepada pentadbir kolej.

1. Hasil kajian boleh digunakan oleh pensyarah senibina untuk :

  • Mengenal potensi dan kelemahan pelajar
  • Merancang pengajaran dengan lebih berkesan

2. Hasil kajian juga boleh digunakan oleh pentadbir kolej untuk :

  • Menambahbaik kemudahan ICT di premis kolej
  • Memberi latihan yang bersesuaian kepada tenaga pengajar kolej
Instrumen kajian ialah dua set borang soal selidik yang ditujukan kepada kumpulan pelajar dan kumpulan pensyarah.

Soal selidik kepada pelajar mengandungi 19 item yang cuba mengukur persepsi mereka terhadap penggunaan ICT di dalam proses pembelajaran dan kekerapan penggunaannya.

Soal selidik kepada pensyarah pula mengandungi 14 item yang cuba mengukur kekerapan penggunaan ICT di dalam proses P&P, tahap kemahiran pensyarah, dan persepsi pensyarah terhadap kepentingan ICT untuk mereka dan para pelajar.

Dapatan kajian secara ringkasnya mendapati bahawa :
  • Kekerapan paling tinggi pelajar menggunakan ICT ialah untuk membuat rujukan rekabentuk diikuti dengan mencari bahan pembelajaran, berhubung dengan rakan dan pensyarah, berkongsi maklumat melalui laman web/blog dan mencari maklumat software terkini.
  • Kekerapan paling tinggi pensyarah menggunakan ICT ialah untuk mencari bahan pengajaran, berhubung dengan pelajar, menggunakan ICT semasa mengajar di dalam kelas dan menyebarkan maklumat melalui laman web/blog.
  • Ketiga-tiga pensyarah yang terlibat menyedari kepentingan ICT di dalam kurikulum senibina apabila melihat huraian silibus matapelajaran. Mereka juga beranggapan bahawa ICT sangat berguna kepada pensyarah dan pelajar. Namun, mereka mengatakan bahawa tahap kemahiran ICT mereka adalah di tahap sederhana.
  • Kekerapan paling tinggi pelajar menggunakan kemudahan internet adalah di kedai makan, diikuti rumah/ hostel, cyber cafe dan kawasan kolej.

Perbincangan & Cadangan

Seiring dengan kemajuan teknologi, ICT telah menjadi sesuatu yang mesti dikuasai oleh tenaga pengajar dan pelajar senibina kerana selain dari mendapatkan maklumat atau rujukan melaluinya, penggunaan ICT dapat membantu meningkatkan kualiti hasil kerja.

Dengan menggunakan teknologi ICT, hasil kerja senibina dapat dipertontonkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami (3D art).

Namun, tidak semua tenaga pengajar betul-betul mahir di dalam penggunaan ICT. maka, pentadbir perlu peka dengan keperluan latihan yang diperlukan oleh tenaga pengajar seiring dengan kemajuan teknologi.

Kemudahan penggunaan ICT di dalam kawasan kolej juga perlu dipertingkatkan bagi kemudahan pelajar dan semua tenaga pengajar serta kakitangan lain.

Rohana Rahmat
Salam...

Memang tidak dapat dinafikan penggunaan laman web sosial seperti facebook, twitter, hi-5, dan lain-lain semakin meluas di seluruh dunia termasuk juga Malaysia. Laman web sosial digunakan ramai untuk pelbagai tujuan seperti berhubung dengan rakan, mencari kawan lama, mencari kawan baru, memasarkan barangan, melebarkan rangkaian kenalan dan lain-lain lagi.
Tidak hairanlah juka ditanya, pasti ramai baik yang bergelar pelajar, pekerja serta suri rumah mengakui 'melekat' di komputer malayari laman web berkaitan saban hari. Lebih parah lagi jika mereka ketagih permainan komputer secara online di laman tersebut.
Dipetik daripada akhbar Berita Minggu (Ahad, 19 September 2010):

Pakar otak terkemuka Britain, Susan Greenfield yang juga merupakan pensyarah Universiti Oxford menyatakan bahawa ketagihan internet boleh merubah otak dengan menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi dan empati. Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau sensitif terhadap orang lain kerana fungsi otak mereka sudah berubah kerana terlalu asyik dengan komputer.


Penggunaan laman web sosial juga mengurangkan interaksi secara bersemuka dan mengurangkan kemahiran sosial. Mungkinkah ini juga penyebab ramai graduan Malaysia sukar mendapat pekerjaan kerana salah satu faktor yang dikenalpasti oleh Kementerian Sumber Manusia ialah kurangnya kemahiran sosial dalam kalangan graduan di Malaysia. Terdapat juga pernyataan yang mengatakan laman web sosial boleh menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh disebabkan semua ahli keluarga lebih suka berkomunikasi dengan rakan di alam maya berbanding keluarga sendiri.
Namun, di sebalik pelbagai kelemahan laman web sosial tersebut, ia juga banyak memberikan kelebihan kepada penggunanya. Contohnya, terdapat individu yang mengaut keuntungan berpuluh-ribu dengan berniaga melalui laman tersebut. Tanpa perlu membayar sewa kedai, mempunyai lesen perniagaan dan lain-lain bil, mereka boleh memasarkan barangan dengan meluas.
Laman web sosial juga boleh digunakan oleh pendidik untuk berhubung dengan pendidik di tempat lain untuk bertukar-tukar pandangan dan boleh juga digunakan bersama pelajar mereka bagi menyampaikan maklumat dan bahan pengajaran berguna.
Satu lagi cara baru penggunaan laman web sosial seperti facebook ialah boleh digunakan oleh penyelidik untuk mengumpul data kajian melalui temuramah secara maya. Walaupun cara berkenaan belum dikatakan sah untuk membuat kajian, ia adalah satu cara alternatif yang boleh difikirkan.
Setiap benda di dunia ini pasti mempunyai kelebihan dan kelemahan. Maka, penggunaan laman web sosial ini boleh menjadi sesuatu yang positif mahupun sebaliknya bergantung kepada si pengguna. Gunakanlah kemajuan ICT ini dengan cara yang betul agar kita menjadi manusia yang bijaksana.





Rohana Rahmat
Kanak-kanak dan permainan tidak dapat dipisahkan bagaikan aur dengan tebing. Walau sebijak manapun kanak-kanak tersebut, hakikatnya mereka tetap kanak-kanak yang suka bermain dan mudah tertarik dengan benda-benda baru. Tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak sekarang banyak menghabiskan masa bermain di dalam berbanding di luar rumah. Banyak faktor yang menyebabkan ini terjadi termasuklah soal keselamatan, tiada tempat permainan, tiada kawan terdekat mahupun kebimbangan ibubapa untuk membenarkan mereka bermain di luar rumah berikutan jenayah yang semakin meningkat.

Oleh kerana itu, kanak-kanak sekarang (juga digelar Millennial, (Carlson, 2005)) banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen, bermain 'in door games' dan mengulangkaji pelajaran. Bagi ibubapa yang berpendidikan, seakan menjadi 'trend' semasa untuk menghantar anak menghadiri tuisyen disebabkan oleh persaingan yang sengit di antara pelajar bermula sekolah rendah lagi. Jika tidak menghantar anak ke pusat tuisyen, pastinya mereka mahukan anak mereka belajar di rumah supaya tidak ketinggalan di dalam kelas.

Mengarahkan anak untuk belajar pada hari cuti bukanlah sesuatu yang mudah kerana suasana di rumah tidak sama dengan di sekolah. Bagi kanak-kanak yang bermotivasi intrinsik, pastinya tidak menjadi masalah, tetapi kebanyakan kanak-kanak lebih gemar bermain dari belajar. Maka, selain daripada latihan di dalam buku, ibu bapa juga boleh memberikan mereka latihan secara interaktif dengan menggunakan laman pendidikan secara online. Walaupun laman pendidikan dalam Bahasa Malaysia amatlah sedikit terutamanya tanpa bayaran, ibu bapa boleh menggunakan laman pendidikan Bahasa Inggeris yang mana kandungannya hampir sama dengan sukatan pelajaran di Malaysia.

Selain itu, terdapat juga laman pendidikan yang boleh digunakan untuk kanak-kanak pra sekolah dan ke bawah yang sangat menarik dan membantu tumesaran otak dengan baik.
Antara laman web tersebut ialah:
- http://www.e-learningforkids.org/
-
http://www.macgamesandmore.com/elearninggames.html
-
http://www.kbears.com/
-
http://www.ixl.com/
-
http://www.playkidsgames.com/

Berikut adalah contoh menu utama bagi laman pendidikan berkenaan. Pelajar boleh memilih tahap dan subjek yang disukai.

Imej di bawah pula ialah antara aktiviti pembelajaran yang terkandung di dalamnya. Berdasarkan pemerhatian saya, kanak-kanak sangat teruja dengan pembelajaran e-learning ini. Imej yang bergerak dan berwarna-warni menarik perhatian dan minat mereka untuk belajar.



Banyak lagi yang boleh diterokai oleh ibubapa bagi menjadikan proses pembelajaran digemari oleh anak-anak dan berkesan meningkatkan prestasi. Walaubagaimanapun, pemantauan perlu dilakukan bagi mengelakkan mereka melayari laman web yang tidak sepatutnya. Kanak-kanak juga tidak patut 'dikurung' di dalam rumah sahaja dan perlu dibenarkan untuk bermain di luar rumah pada masa tertentu untuk menjadikan mereka cergas dan cerdas.