Rohana Rahmat
Penggunaan eBook di Terengganu, Pembekalan Interaktif CD oleh Pusat Pembangunan Kurikulum dan lain-lain lagi adalah satu usaha kerajaan yang 'cantik' untuk menerapkan penggunaan ICT dalam kalangan guru dan pelajar dan seterusnya diharapkan dapat meningkatkan prestasi pencapaian pelajar.

Namun, berdasarkan kajian, pemerhatian dan temubual bersama guru yang dijalankan, didapati bahawa pelaksanaan dan penggunaannya tidak seperti yang diharapkan. Bak kata pepatah "indah khabar dari rupa".

Pembekalan eBook kepada pelajar di Terengganu diharapkan dapat meningkatkan minat belajar dalam kalangan pelajar dan dapat meringankan beg pelajar. Tetapi hakikatnya, tidak ramai guru yang bersedia dengan teknologi tersebut dan hanya menggunakannya sekali sekala. Akhirnya, eBook hanya alat bantuan permainan pelajar dan bukannya alat bantuan pembelajaran.

PPK juga ada membekalkan CD pembelajaran bagi sesetengah mata pelajaran, namun berdasarkan temubual bersama beberapa guru, CD tersebut jarang sekali dibuka dan digunakan bersama pelajar sedangkan kos pembinaannya menelan belanja yang mahal. Sebaliknya terdapat juga guru yang hanya menayangkan CD di dalam kelas tanpa mengulas secara terperinci isi kandungan pelajaran tersebut. Penggunaan CD tersebut adalah tidak tepat dan peranan guru sebagai fasilitator telah disalahertikan.

Secara keseluruhan, isu di atas adalah berkaitan dengan 'guru'. Guru sebagai pemimpin kurikulum sewajarnya mengatur segala aktiviti P&P dengan berkesan, menggunakan segala kemudahan yang diberikan dengan baik, dan menilai keberkesanan aktiviti P&P yang dijalankan. Maka, guru perlu menjadi proaktif dan bersedia untuk berubah selari dengan perkembangan teknologi semasa. Guru yang berani berubah akan lebih senang mendekati pelajar dan membawa pelajar ke arah kejayaan. Namun, berapa ramaikah guru yang sedar hakikat ini dan adakah guru di Malaysia bersedia ke arah perubahan tersebut.
0 Responses

Post a Comment