Rohana Rahmat
Bagi melengkapkan syarat mata pelajaran MTM 6053, saya telah menjalankan satu kajian kes di tempat saya bertugas iaitu Kolej Negeri Chedang Campus, Seremban, Negeri Sembilan. Tajuk kajian kes tersebut ialah "Penerapan Penggunaan ICT di dalam Kurikulum Diploma Teknologi Senibina - Satu Kajian Kes di Kolej Negeri".

Objektif kajian ini adalah untuk mengumpulkan maklumat mengenai perkaitan di antara ICT dengan kurikulum Diploma Teknologi Senibina di Kolej Negeri dan kekerapannya di dalam P&P.

Kepentingan kajian ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kepada pensyarah senibina dan juga kepada pentadbir kolej.

1. Hasil kajian boleh digunakan oleh pensyarah senibina untuk :

  • Mengenal potensi dan kelemahan pelajar
  • Merancang pengajaran dengan lebih berkesan

2. Hasil kajian juga boleh digunakan oleh pentadbir kolej untuk :

  • Menambahbaik kemudahan ICT di premis kolej
  • Memberi latihan yang bersesuaian kepada tenaga pengajar kolej
Instrumen kajian ialah dua set borang soal selidik yang ditujukan kepada kumpulan pelajar dan kumpulan pensyarah.

Soal selidik kepada pelajar mengandungi 19 item yang cuba mengukur persepsi mereka terhadap penggunaan ICT di dalam proses pembelajaran dan kekerapan penggunaannya.

Soal selidik kepada pensyarah pula mengandungi 14 item yang cuba mengukur kekerapan penggunaan ICT di dalam proses P&P, tahap kemahiran pensyarah, dan persepsi pensyarah terhadap kepentingan ICT untuk mereka dan para pelajar.

Dapatan kajian secara ringkasnya mendapati bahawa :
  • Kekerapan paling tinggi pelajar menggunakan ICT ialah untuk membuat rujukan rekabentuk diikuti dengan mencari bahan pembelajaran, berhubung dengan rakan dan pensyarah, berkongsi maklumat melalui laman web/blog dan mencari maklumat software terkini.
  • Kekerapan paling tinggi pensyarah menggunakan ICT ialah untuk mencari bahan pengajaran, berhubung dengan pelajar, menggunakan ICT semasa mengajar di dalam kelas dan menyebarkan maklumat melalui laman web/blog.
  • Ketiga-tiga pensyarah yang terlibat menyedari kepentingan ICT di dalam kurikulum senibina apabila melihat huraian silibus matapelajaran. Mereka juga beranggapan bahawa ICT sangat berguna kepada pensyarah dan pelajar. Namun, mereka mengatakan bahawa tahap kemahiran ICT mereka adalah di tahap sederhana.
  • Kekerapan paling tinggi pelajar menggunakan kemudahan internet adalah di kedai makan, diikuti rumah/ hostel, cyber cafe dan kawasan kolej.

Perbincangan & Cadangan

Seiring dengan kemajuan teknologi, ICT telah menjadi sesuatu yang mesti dikuasai oleh tenaga pengajar dan pelajar senibina kerana selain dari mendapatkan maklumat atau rujukan melaluinya, penggunaan ICT dapat membantu meningkatkan kualiti hasil kerja.

Dengan menggunakan teknologi ICT, hasil kerja senibina dapat dipertontonkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami (3D art).

Namun, tidak semua tenaga pengajar betul-betul mahir di dalam penggunaan ICT. maka, pentadbir perlu peka dengan keperluan latihan yang diperlukan oleh tenaga pengajar seiring dengan kemajuan teknologi.

Kemudahan penggunaan ICT di dalam kawasan kolej juga perlu dipertingkatkan bagi kemudahan pelajar dan semua tenaga pengajar serta kakitangan lain.

0 Responses

Post a Comment